8.1 Pengenalan kepada Function Points

PENGIRAAAN SAIZ APLIKASI

Bab ini menerangkan penggunaan kaedah Function Point Analysis (FPA) untuk menentukan saiz sistem aplikasi dalam fasa-fasa Permulaan Projek, Analisis dan Pelaksanaan.

 

8.1 Pengenalan kepada Function Points

Pada pertengahan 1970an, Allan Albrecht daripada syarikat IBM memperkenalkan Functional Point Analysis (FPA) sebagai kaedah penentuan saiz sistem aplikasi yang dibangunkan. FPA yang telah diperkenalkan oleh Allan Albrecht ini kemudiannya ditambahbaik oleh IFPUG. Berbeza dengan kaedah pengiraan berasaskan bilangan baris kod sumber dan kaedah-kaedah lain, kaedah FPA mengukur saiz sistem aplikasi berdasarkan fungsian yang diminta dan diterima oleh pengguna, serta kaedah ini bebas dari faktor-faktor teknikal dan teknologi. Oleh yang demikian, pengiraan saiz sistem aplikasi kekal konsisten walau pun sistem aplikasi yang dibangun menggunakan platform dan teknologi yang berlainan. FPA menyediakan metrik pengiraan saiz sistem aplikasi yang spesifik dan lebih tepat dengan margin ralat +- 10%. Metrik atau unit pengukuran saiz fungsian perisian atau sistem aplikasi dinamakan function point (FP). Jadi 1FP bermaksud saiz kefungsian sistem aplikasi yang dikira ialah sebesar satu FP. FP merupakan unit pengukuran saiz sistem aplikasi seperti mana meter atau kaki persegi untuk mengukur saiz bangunan, jam untuk mengukur masa, kilometer atau batu untuk mengukur jarak, celsius untuk mengukur suhu atau byte untuk mengukur saiz storan. Secara ringkasnya, kaedah pengukuran saiz fungsian sistem aplikasi IFPUG dikenali sebagai Function Point Analysis (FPA) dan unit saiz fungsiannya dinamakan function point (FP).