1.5 Metodologi Kejuruteraan Sistem Aplikasi Sektor Awam

Metodologi Kejuruteraan Sistem Aplikasi Sektor Awam dibangunkan dengan mengambilkira tinjauan dan pengalaman ke atas metodologi pembangunan sistem yang telah diamalkan dalam industri dan sektor awam. Metodologi ini merangkumi 6 fasa utama iaitu: fasa pemulaan projek (initiation), fasa analisa (analysis), fasa reka bentuk (design), fasa pembangunan (construction), fasa Pengujian (testing) dan fasa pelaksanaan (implementation). Rajah 11 merupakan Metodologi Pembangunan Sisem Aplikasi Sektor Awam yang menunjukkan hubungan antara fasa dan aktiviti dalam setiap fasa.


Rajah 11 : Metodologi Kejuruteraan Pembangunan Sistem Aplikasi Sektor Awam


Fasa 1 : Permulaan Projek

Fasa permulaan projek memberikan penekanan kepada komunikasi dan komitmen Pemegang Taruh dan organisasi yang bertanggungjawab membangunkan sesuatu projek selepas sesuatu permintaan diterima. Fasa ini dibahagikan kepada 2 aktiviti utama iaitu:

a) Penyediaan Pelan Pembangunan Sistem / Piagam Pelanggan Penyediaan Pelan Pembangunan Sistem (PPS) adalah penting sebagai komitmen pasukan projek dengan pemilik sistem dan pemegang taruh. Butiran komitmen merangkumi skop, tujuan, keperluan sumber, tempoh projek dan faedah/impak sistem kepada bisnes organisasi. Pelan Pembangunan Sistem perlu mendapat persetujuan bersama antara pasukan pembangun dan pemilik sistem.

b) Kajian Keperluan Bisnes Penentuan Keperluan Bisnes memberikan tumpuan ke atas aktiviti mengumpul keperluan bisnes sesuatu organisasi (organisasi pemegang taruh). Ini untuk memastikan sistem yang dibangunkan menepati keperluan organisasi Pemegang Taruh secara menyeluruh (contoh: menepati visi, misi dan objektif agensi) dan menepati keperluan organisasi secara spesifik. Proses-proses yang berlaku di dalam aktiviti ini adalah mendefinisikan unit Bisnes dan Peranan, Pemodelan Fungsi dan Proses Bisnes. Hasil daripada aktiviti ini ialah D02 Spesifikasi Keperluan Bisnes.

Fasa 2 : Analisis

Matlamat utama fasa ini adalah melaksana analisis ke atas keperluan secara terperinci untuk menghasilkan D02 Spesifikasi Keperluan Bisnes Output bagi aktiviti ini adalah D03 Spesifikasi Keperluan Sistem yang menyatakan keperluan bagi sistem dari perspektif pembangun sistem. Ia menyatakan perkara-perkara atau item-item yang perlu ada didalam sesuatu sistem bagi merealisasikan keperluan bisnes atau pemegang taruh. Proses-proses yang berlaku di dalam aktiviti ini adalah pemodelan use case (fungsian), pemodelan keperluan data dan pemodelan proses sistem.

Fasa 3 : Reka bentuk

Berdasarkan keperluan sistem yang diperolehi di dalam Fasa Analisis, arkitektur keseluruhan sistem akan dihasilkan. Arkitektur sistem ini mendefinisikan komponen, perlakuan dan antaramuka komunikasi bagi sesuatu sistem. Fasa ini juga menerangkan tentang bagaimana sistem ini akan dihasilkan. Ia merangkumi aktiviti-aktiviti seperti reka bentuk arkitektur; reka bentuk sistem; reka bentuk pangkalan data, serta penentuan teknologi yang akan digunakan. Output kepada fasa ini adalah D04 Spesifikasi Reka bentuk Sistem.

Fasa 4 : Pembangunan

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam fasa pembangunan adalah berkaitan proses penghasilan dan pengujian sistem oleh pasukan pembangun. Fasa pembangunan merealisasikan SDS yang dihasilkan dalam fasa reka bentuk. Komponen dan fungsi sistem dibangunkan melalui proses pengaturcaraan dan diintegrasikan untuk menghasilkan sesuatu produk atau sistem. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam fasa ini adalah pembangunan pangkalan data, pengaturcaraan sistem dan pengujian sistem. Di dalam fasa ini, proses penghasilan sistem aplikasi adalah matlamat utama.

Fasa 5 : Pengujian

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam fasa pengujian adalah berkaitan dengan penyediaan pelan ujian dan dokumentasi berkaitan ujian, serta pelaksanaan pengujian penerimaan oleh pengguna ke atas sistem. Pengujian yang dimaksudkan adalah Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) dan Ujian Penerimaan Sementara (PAT). Ujian ini dilaksanakan sebagai validasi ke atas sistem aplikasi yang dibangunkan berdasarkan keperluan pengguna dan keperluan sistem bagi memastikan keperluan tersebut dipenuhi sebelum sistem aplikasi dilaksanakan.

Fasa 6 : Pelaksanaan

Aktiviti utama di dalam fasa pelaksanaan adalah melaksanakan aktiviti ke arah persediaan pelaksanaan sistem. Aktiviti-aktiviti yang dilaksana di dalam fasa ini adalah migrasi data, ujian penerimaan akhir, persediaan manual pengguna dan laporan serahan sistem.