1.3 Klasifikasi Metodologi Pembangunan Sistem Aplikasi

Metodologi-metodologi pembangunan sistem aplikasi yang digunakan boleh diklasifikasikan kepada 3 model utama iaitu model yang berasaskan kepada proses prediktif, model yang berasaskan kepada proses iteratif dan model yang berasaskan kepada proses adaptif. Model-model ini menentukan pendekatan dalam proses pembangunan sistem aplikasi.

Model Prediktif, proses pembangunan sistem aplikasi berlaku dalam satu siri fasa-fasa secara tersusun. Selepas keperluan sistem dipersetujui, reka bentuk sistem dibuat dan diikuti dengan pengaturcaraan. Akhirnya, sistem diuji sebagai pengesahan pematuhan kepada keperluan. Metodologi Waterfall termasuk dalam kategori model ini.

Model Iteratif merupakan model yang berasaskan penemuan (discovery-based) di mana pada peringkat awal dokumen keperluan sistem lebih ringkas berbanding dengan model prediktif. Bermula dengan dokumen asas yang menerangkan apa yang hendak dibangunkan, keperluan sebenar sistem akan dikenalpasti dan ditemui semasa proses iteratif. Metodologi Spiral, RAD dan RUP termasuk dalam kategori model ini.

Model Adaptif merupakan evolusi daripada model prediktif dan model iteratif. Model ini juga dikenali metodologi Agile. Model ini membolehkan organisasi menyelesaikan masalahnya secara holistik melalui persekitaran pembangunan sistem yang transparen dan adaptif. Persekitaran ini diwujudkan melalui pembentukan pasukan pembangunan yang menekankan kolaboratif antara pihak bisnes (SME) dan pihak ICT untuk menghasilkan sistem yang selari dengan strategi organisasi dengan cepat. Tanpa melengkapkan dokumen keperluan lebih awal, aktivti pengaturcaraan akan dilaksanakan secepat mungkin dan akan terus dinilai oleh SME. Kelemahan atau kekurangan yang ditemui kemudiannya akan terus dibetulkan oleh pihak ICT. Ini bermakna perubahan kepada keperluan sistem boleh berlaku di semua fasa pembangunan sistem dan dokumen-dokumen sistem dimuktamadkan selepas pihak SME berpuas hati dengan produk yang dibangunkan. Metodologi Scrum, Extreme Programming (XP) dan Lean termasuk dalam kategori model ini. Rajah 9 merupakan model-model Metodologi Pembangunan Sistem Aplikasi.

Rajah 9 : Model Klasifikasi Metodologi Pembangunan Sistem Aplikasi

Sumber : Trail Ridge Consulting, LLC

Rujukan
1. Capers Jones (2010). Software Engineering Best Practices.McGraw-Hill Companies
2. Uml-diagrams.org (2009-2017). Activity Diagrams. https://www.uml-diagrams.org/activity-diagrams.html.
3. Leffingwell, Dean (2011), Agile Software Requirements : Lean Requirements Practices For Teams, Programs, And The Enterprise.