Ekosistem Kejuruteraan Sistem Aplikasi Sektor Awam telah menggariskan beberapa faktor kejayaan dalam pembangunan sistem iaitu Tadbir Urus Pengurusan Projek ICT, Pengurusan Kawalan Pindaan, Jaminan Kualiti Perisian (SQA), Faktor Keselamatan ICT, Pengukuran Saiz Sistem Aplikasi dan Penglibatan Pemegang Taruh. Aspek-aspek utama ini perlu dititikberat dalam melaksana metodologi kitar hayat pembangunan sistem ke arah mencapai matlamat bisnes yang ditetapkan.
1.6.1 Tadbir Urus Pengurusan Projek ICT
Merujuk kepada Buku Metodologi PRrISA Panduan Pengurusan Projek ICT Sektor Awam, 2016 yang diterbitkan oleh MAMPU, tadbir urus projek adalah penting bagi memastikan kejayaan projek ICT. Ianya meliputi penubuhan struktur pasukan projek pembangunan dan jawatankuasa pemantauan projek.
Organisasi Pasukan Projek Pembangunan diketuai oleh Pengurus Projek dengan bantuan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) yang berfungsi sebagai penyelaras kepada 2 pasukan utama projek seperti berikut:
a) Pasukan Pembangunan
Pasukan pembangunan bertanggungjwab dalam melaksana aktiviti mengkaji, menganalisa, membangun sistem aplikasi dan melaksana pengujian sistem
b) Pasukan SME
Pasukan SME bertanggungjawab dalam menyedia input D03 Spesifikasi Keperluan Sistem dan melaksana pengujian penerimaan ke atas sistem
Jawatankuasa pemantauan projek adalah terdiri 2 jawatankuasa utama iaitu:
a) Jawatankuasa Pemandu Projek
Jawatankuasa Pemandu Projek bertanggungjawab memutuskan strategi dan halatuju projek pembangunan yang terdiri daripada keperluan sumber manusia, kewangan dan proses. Jawatankuasa ini juga memantau pelaksanaan projek secara keseluruhan.
b) Jawatankuasa Teknikal Projek
Jawatankuasa Teknikal Projek bertanggungjawab memperaku halatuju, serahan dan strategik, menyelesai isu-isu teknikal, menyelaras dan memantau pelaksanaan mengikut skop projek yang dipersetujui.
1.6.2 Penglibatan Pemegang Taruh
Penglibatan pemegang taruh sepanjang aktiviti pembangunan sistem aplikasi dikira sebagai faktor utama bagi memastikan kejayaan dalam pembangunan dan pelaksanaan sistem aplikasi. Di samping menyumbang kepada kualiti sistem yang dibangunkan, penglibatan pemegang taruh juga dapat menyelesaikan strategi pengurusan perubahan ke arah penggunaan sistem aplikasi yang dibangunkan.
Faedah Yang Diperolehi
a) Meningkatkan kualiti sistem dan ketetapan kepada kehendak dan keperluan pengguna dalam menyokong peranan dan bisnes agensi
b) Meningkatkan kefahaman dan penerimaan sistem aplikasi yang dibangunkan
c) Dengan penglibatan SME dalam mengenalpasti keperluan sistem dalam konteks fungsi organisasi, ini dapat mengurangkan masa pembangunan
d) Memupuk perasaan pemilikan sistem baru, dengan penglibatan pengguna dalam proses pembangunan akan menyebabkan penggunan lebih komited untuk menggunakan sistem dan untuk memastikan kejayaannya semasa pelaksanaan.
Kategori Pemegang Taruh
Dalam pelaksanaan pembangunan sistem agensi sektor awam, terdapat 5 kategori pemegang taruh iaitu:
a) Penganjur Projek
Penganjur projek adalah Ketua Jabatan/Agensi yang melulus dan memberi peruntukan bagi pembangunan sistem aplikasi. Sokongan dari pengurusan atasan agensi adalah faktor utama yang membawa kepada kejayaan pembangunan dan pelaksanaan sistem aplikasi.
b) Pemilik Projek
Pemilik projek adalah Ketua Bahagian yang memiliki fungsi dan mempunyai kuasa terhadap dasar dan prosidur sistem aplikasi yang sedang dibangunkan. Mereka bertanggungjawab dalam memastikan sistem yang dibangunkan memenuhi keperluan jabatan.
c) Subject Matter Expert (SME)
SME adalah kumpulan pegawai rujukan kepada fungsi bisnes agensi berkaitan dengan sistem yang akan dibangunkan.
d) Ahli Pasukan Projek
Pasukan pengguna yang terlibat dalam menyatakan keperluan sistem, terlibat dalam reka bentuk sistem dan pengujian sistem. Mereka akan menjadi pegawai penghubung antara pengguna akhir sistem dan pasukan pembangun.
e) Penasihat Projek
Pengurusan atasan agensi yang memberi nasihat dalam keperluan pengguna dan sepanjang pentadbiran dan pengurusan projek dilaksanakan. Selalunya penasihat projek akan mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Projek.
1.6.3 Pengurusan Kawalan Pindaan
Permintaan pindaan adalah permohonan untuk membuat pelarasan semula skop atau keperluan sistem yang telah dipersetujui. Permintaan perubahan ini amat penting diuruskan bagi memastikan tiada kesan kelewatan dalam pembangunan sistem aplikasi yang sedang berlaku. Permintaan pindaan keperluan biasanya berpunca dari sebab-sebab berikut:
a) Masalah yang dilaporkan dikenalpasti sebagai ralat yang mesti diperbetulkan.
b) Peningkatan sistem yang diminta dari pihak pengguna.
c) Pertukaran standard, polisi atau akta berkaitan bisnes yang membawa kepada perlunya sistem diubahsuai.
d) Permintaan daripada pengurusan kanan yang memerlukan pertambahan atau pengubahsuaian fungsi sistem.
Buku Metodologi PPrISA Panduan Pengurusan Projek ICT Sektor Awam, 2016 yang diterbitkan oleh MAMPU, menggariskan pendekatan bagi kawalan pindaan di bawah Fasa Pelaksanaan dan Kawalan, menjelaskan perkara berikut:
a) Borang Change Request – borang standard yang perlu diisi oleh pihak mengguna bagi membuat permintaan pindaan dan sokongan daripada pemilik sistem
b) Penyata Pindaan – keperluan untuk mendaftar permintaan pindaan, kelulusan tindakan, kaedah penyelesaian dan status tindakan
c) Log Penyelesaian Isu – catatan kelulusan penyelesaian ke atas pindahaan dan aktiviti yang telah dilaskanakan
d) Lembaga kawalan perubahan – Lembaga /peringkat yang membincangkan dan meluluskan permintaan kawalan
e) Aliran Proses Kawalan Pindaan – menjelaskan aliran kerja permintaan pindaan.
1.6.4 Jaminan Kualiti Perisian (SQA)
SQA adalah satu pendekatan yang terancang dan sistematik untuk menilai kualiti dan pematuhan kepada standard aplikasi, proses dan prosedur. Ini termasuklah proses bagi menjaminan bahawa standard dan prosedur yang diwujudkan dipatuhi sepanjang aktiviti kitar hayat pembangunan sistem. SQA berbeza daripada ujian kerana ia adalah berorientasikan pencegahan manakala ujian adalah berorientasikan pengesanan. SQA adalah proses semakan bermula dari peringkat awal pembangunan, dengan ini dapat membantu dalam mengenal pasti masalah awal seterusnya menyumbang ke arah peningkatan kualiti sistem. Terdapat 2 item utama yang perlu dibincangkan dalam pelaksanaan SQA iaitu ciri-ciri sistem aplikasi yang berkualiti diukur berdasarkan atribut kualiti perisian dan aktiviti pengujian verifikasi dan validasi bagi memastikan sistem aplikasi yang dihasilkan berkualiti dan memenuhi ciri-ciri kualiti perisian.
a) Atribut Kualiti Perisian
Kualiti sistem aplikasi ditentukan oleh atribut kualiti seperti Jadual 3.
Jadual 3 : Atribut Kualiti Perisian
Attribut | Keterangan | Contoh |
Atribut fungsian (Functional attributes) | Input dan output produk perisian |
i. Sistem dapat memenuhi keperluan pengguna dengan tepat (correctness). ii. Sistem mengawal capaian modul mengikut peranan pengguna (authentication). iii. Sistem memaparkan maklumat sulit kepada pengguna tertentu sahaja (integrity). Aspek keselamatan telah diambil berat semasa pembangunan sistem (security) |
Atribut operasi (Operational attributes) | Syarat operasi sesuatu produk perisian |
i. Sistem berupaya memberikan tindak balas (latency or response time) dalam masa yang ditetapkan ii. Sistem dapat menampung kapasiti (capacity) pengguna serentak yang ditetapkan iii. Sistem dapat beroperasi walaupun melebihi kapasiti pengguna yang ditetapkan. |
Atribut kebolehgunaan (Usability attributes) | Sejauh mana produk perisian boleh digunakan dan disesuaikan dengan produk perisian |
i. Sistem mudah digunakan (ease of use) oleh pengguna ii. Sistem mudah dipelajari (ease of learn) oleh pengguna iii. Sistem mudah disesuaikan (customizable) mengikut keperluan operasi pengguna iv. Sistem sedia berkolaborasi dengan aplikasi lain (interoperability) |
Atribut perniagaan (Business attributes) | Kos pembangunan, penggunaan serta perubahan produk perisian |
i. Kos pembangunan sistem ii. Kos penyelenggaraan system iii. Penjimatan kos apabila produk atau komponennya boleh diguna semula (reusability) iv. Penjimatan kos apabila produk boleh digunakan pada platform berbeza (portability) |
Atribut struktur (Structural attributes) | Struktur dalaman produk perisian |
i. Sistem yang dibangunkan berupaya untuk diuji (testability) ii. Sistem mudah diadaptasi (adaptability) mengikut perubahan keperluan pengguna iii. Pembangunan sistem mengambil kira struktur kemodularan (modularity) |
b) Verifikasi dan Validasi
Verifikasi adalah proses semakan dokumentasi dan reka bentuk sistem (static testing) untuk memastikan produk yang telah dibangunkan mematuhi keperluan yang ditetapkan (system was built right) dalam setiap fasa pembangunan sistem. Antara tujuan verifikasi adalah untuk menghasilkan keperluan yang betul, tepat, lengkap dan konsisten. Validasi adalah aktiviti bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi spesifikasi keperluan (right system built) melalui proses pengujian dinamik. Rujuk rajah di bawah.
Rajah 12 : Proses Verifikasi dan Validasi
Pengujian Verifikasi dan Validasi (V&V) hendaklah dilaksanakan oleh pasukan pembangunan sistem itu sendiri, pada setiap fasa kitaran hayat pembangunan sistem. Rajah di bawah menunjukkan 4 jenis pengujian yang perlu dilaksanakan iaitu:
Rajah 13 : Jenis-Jenis Pengujian V&V
Jadual 4 : Jenis-Jenis Pengujian IV&V
Jenis Ujian | Keterangan |
Pengujian Awal (Early Testing) | Jenis pengujian adalah Ujian Statik dalam fasa permulaan projek. Pendekatan ujian adalah secara review atau/dan walkthrough ke atas keperluan fungsian (functional) dan bukan fungsian (non-functional) seperti yang dinyatakan dalam SRS. Artifak yang terlibat adalah seperti: • Dokumen tender • Cadangan tender daripada pembekal yang dilantik. • Software Requirement Specification (SRS). |
Ujian Unit (Unit Testing) | Aktiviti pengujian bagi menilai unit terkecil (lowest level) di dalam sistem seperti kod program, function dan sebagainya |
Ujian Integrasi (Integration Testing) | Aktiviti pengujian dengan sistem-sistem dalaman dan sistem-sistem luaran yang terlibat secara terus dengan aplikasi yang sedang dibangunkan. |
Ujian Sistem (System Testing) | Aktiviti pengujian yang terlibat adalah Pengujian Functional dan Non-Functional untuk keseluruhan modul yang dibangunkan |
Ujian Penerimaan (Acceptance Testing) | Ujian Penerimaan Pengguna terbahagi kepada tiga (3) seperti turutan berikut: • Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) • Ujian Penerimaan Sementara (PAT) • Ujian Penerimaan Akhir (FAT) |
Penggunaan SQA dalam proses pembangunan sistem akan membawa kepada faedah-faedah berikut:
a) Memastikan standard dan prosedur dipatuhi.
b) Mewujudkan dokumentasi system yang seragam dan mudah difahami.
c) Memastikan masalah dapat ditemui awal dan diuruskan dengan sewajarnya.
d) Memantau dan menambah baik proses pembangunan perisian.
1.6.5 Faktor Keselamatan ICT
Elemen keselamatan dalam pembangunan sistem aplikasi adalah perlu diambil kira dalam proses kitaran hayat pembangunan sistem aplikasi. Sistem aplikasi sering terdedah kepada serangan kerana wujudnya kelemahan semasa aktiviti reka bentuk dan pengaturcaraan. Kelemahan sistem aplikasi boleh menyebabkan ia boleh diubahsuai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga sistem aplikasi tersebut tidak dapat beroperasi dengan baik. Tindakan pencegahan adalah penting untuk mengurangkan ancaman ke atas sistem aplikasi. Aspek yang perlu diambilkira dalam menjamin keselamatan sistem adalah:
a) Prinsip umum Pembangunan Sistem Terselamat
Keselamatan sistem boleh diancam pada mana-mana aktiviti sepanjang kitaran hayatnya, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja oleh "orang dalam" atau oleh "orang luar" yang tidak mempunyai hubungan dengan organisasi. Penambahbaikan kelemahan yang dikesan pada peringkat awal sepanjang kitar hayat sistem aplikasi adalah lebih kos efektif daripada membangun dan mengeluarkan versi/patch keselamatan baru untuk sistem beroperasi. Untuk dianggap selamat, sistem mestilah mempunyai ciri-ciri:
i) Kebergantungan (Dependability)
Sistem yang dibangunkan boleh beroperasi dengan lancar di bawah semua keadaan dan platform, termasuklah sekiranya terdapat serangan atau pelbagai niat jahat.
ii) Dipercayai (Trustworthiness)
Sistem boleh dipercayai walaupun terdapat kelemahan yang sengaja dieksploitasi untuk mengganggu pengoperasian sistem. Sistem yang boleh dipercayai mesti mengandungi logik yang boleh menghalang sebarang pencerobohan jahat.
iii) Daya Tahan (Resilience)
Sistem yang berdaya tahan adalah sistem yang mampu menentang serangan atau dapat dipulihkan dengan cepat sekiranya ada serangan yang tidak boleh ditolak/ ditahan.
b) Ciri-Ciri Keselamatan Utama Pembangunan Sistem
Terdapat 7 ciri-ciri keselamatan yang perlu diambilkira bagi memastikan sistem aplikasi adalah selamat. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
i) Keselamatan Tahap Sistem
Sistem dapat mengawal akses aplikasi pada peranan setiap pengguna. Biasanya sistem dikawal berasaskan paparan pilihan menu yang berbeza mengikut peranan pengguna.
ii) Keselamatan Row-Level
Pengguna hanya dapat melihat data yang dibenarkan mengikut peranan mereka di dalam aplikasi yang sama.
iii) Single Sign-On (SSO)
Satu proses pengesahan pengguna yang membolehkan pengguna memasukkan id penggguna dan kata laluan mereka pada satu sistem sahaja tetapi pengesahan tersebut memberi kebenaran kepada pengguna untuk mengakses sistem lain yang berkaitan pada sesi yang sama tanpa perlu log masuk ke sistem tersebut. SSO akan mengurangkan bilangan ID Pengguna/ kata laluan yang perlu diingat dan memerlukan login pada setiap aplikasi yang diperlukan.
iv) Parameter Keistimewaaan Pengguna
Parameter keistimewaan pengguna digunakan untuk memperibadikan ciri dan keselamatan kepada pengguna individu atau peranan pengguna. Parameter keistimewaan pengguna disimpan ke profil pengguna dan boleh diakses pada keseluruhan sistem. Ianya sangat fleksibel, dapat mengawal, menambah atau menyembunyi pilihan pengguna. Contoh: walaupun semua pengguna boleh mengakses aplikasi yang sama, tetapi hanya pengguna tertentu sahaja yang boleh melihat pilihan untuk mengemaskini data.
v) Pilihan Pengesahan Fleksibel (Flexible Authentication Options)
Sistem aplikasi yang dibangunkan sepatutnya menawarkan pelbagai pilihan kaedah pengesahan pengguna, sistem sepatutnya fleksibel untuk menggunakan kaedah pengesahan yang sedia ada tanpa perlu wujud atau mengubah kaedah pengesahan semasa.
vi) Sumber Data Pengguna (User Specific Data Source)
Ciri keselamatan ini adalah sama dengan row-level keselamatan, tetapi di peringkat pangkalan data. Aplikasi yang dibangunkan boleh mengakses sumber data yang berbeza bergantung kepada pengguna. Contoh: Apabila berlaku penggabungan 2 syarikat yang mengguna sistem yang sama. Syarikat A perlu akses pangkalan data local, manakala pekerja syarikat B perlu akses data dari pangkalan data berlainan.
vii) Pengauditan Aktiviti Sistem
Pengauditan aktiviti sistem membolehkan pembangun log aktiviti pengguna akhir untuk setiap aktiviti Sign On / Sign Off. Ini membolehkan sistem menjejaki dengan cepat dan merekod log masuk dan keluar pengguna, fungsi yang dicapai dan aktiviti yang dilakukan terhadap data.
1.6.6 Kepentingan Pengukuran Saiz Sistem
Dalam perancangan pembangunan projek yang melibatkan pembangunan sistem aplikasi, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah membuat anggaran 4 parameter utama iaitu saiz sistem, usaha pembangunan (development effort), masa dan kos. Kesemua parameter ini merupakan input utama bagi pelan keseluruhan projek.
Apabila saiz sistem tidak diukur dengan tepat, maka kebiasaannya anggaran usaha pembangunan, masa dan kos adalah hanya berdasarkan kepada pengalaman dan rekod-rekod sejarah yang lepas. Pengalaman dan rekod-rekod sejarah tersebut pula dikumpulkan berdasarkan kepada cadangan pihak kontraktor di mana kadang-kadang kos yang ditawarkan boleh dipersoalkan sama ada berpatutan atau sebaliknya. Oleh yang demikian, adalah sangat penting saiz sistem diukur dengan lebih tepat dan secara saintifik serta mematuhi piawaian antarabangsa.
Apabila membuat perancangan projek-projek ICT yang melibatkan pembangunan sistem baru atau peningkatan sistem sedia ada, pihak pengurusan memerlukan jawapan kepada tiga persoalan asas berikut:
a) Berapakah jumlah kos yang terlibat?
b) Berapa lama masa diambil untuk menyiapkan projek?
c) Siapa akan melaksanakannya dan adakah pilihan yang dibuat akan mengurangkan kos atau mempercepatkan pelaksanaan projek?
Jawapan kepada persoalan bisnes ini dapat diberikan sekiranya saiz sistem yang hendak dibangunkan diketahui. Pengiraan saiz sistem merupakan salah satu aktiviti dalam kejuruteraan sistem untuk membuat anggaran saiz sistem aplikasi yang hendak dibangunkan. Terdapat beberapa kaedah pengiraan saiz perisian, antaranya ialah COSMIC Function Points, Mk II Function Points, Nesma Function Points, FiSMA Function Points dan kaedah IFPUG. Kaedah yang paling terkenal ialah kaedah IFPUG yang juga dikenali dengan Function Point Analysis (FPA). FPA dimiliki dan diselenggara oleh IFPUG (International Function Point Users Group) iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang telah ditubuhkan pada 1986. FPA ini mematuhi standard pengukuran fungsian sistem aplikasi ISO/IEC 14143-1:2007. Metrik pengukuran function points (FP) telah menjadi standard de facto untuk analisis ekonomik sistem aplikasi, sebagai penanda aras kepada produktiviti dan kualiti sistem aplikasi dan lain-lain pengukuran yang berkaitan. Keterangan yang terperinci mengenai function points dan kaedah IFPUG FPA akan diterangkan dalam Bab 8.
Persoalan yang selalu ditanya apabila membuat inisiatif berkaitan pembangunan sistem aplikasi ialah berapa besar atau berapa kompleks sistem aplikasi yang hendak dibangunkan. Adakah sistem yang hendak dibangunkan bersaiz kecil, sederhana atau besar? Apabila kaedah FPA diaplikasikan, penentuan kategori saiz sistem dapat ditentukan dengan yakin dan jelas. Capers Jones Pengarang buku Software Engineering Best Practices - Lessons from Successful Projects in the Top Companies (2010), menyatakan perisian kategori kecil ialah perisian yang kurang daripada 100FP, kategori sederhana bagi perisian bersaiz antara 100FP hingga 999FP dan kategori besar bagi perisian bersaiz 1000FP ke atas. Apabila saiz sistem dapat diketahui, maka kos, tempoh masa dan usaha pembangunan dapat ditentukan dengan merujuk kepada jadual standards antarabangsa mengikut negara atau mengikut standards organisasi sekiranya ada.
FP sudah dan sedang diterima secara meluas sebagai metrik standards untuk mengukur saiz perisian. Kefahaman mengenai saiz perisian merupakan kunci kepada kefahaman produktiviti dan kualiti dalam proses pembangunan sistem. Tanpa metrik pengukuran saiz perisian yang saintifik dan boleh dipercayai, produktiviti (FPs sebulan kerja) atau kualiti (kecacatan per FP) tidak akan dapat dikira. Dengan FP, pemantauan kemajuan dalam produktiviti dan kualiti pembangunan sistem di setiap fasa pembangunan dapat ditambah baik. Apabila perubahan kepada produktiviti dan kualiti dikira dan diplot mengikut masa, organisasi boleh fokus kepada kekuatan dan kelemahan. Fokus kepada kekuatan dan pembetulan serta penambahbaikan kepada kelemahan akan menjadikan proses pembangunan sistem lebih efektif.
Penggunaan pengukuran saiz fungsian sistem aplikasi yang dibangunkan akan menyediakan maklumat-maklumat tambahan yang akan membantu dalam kejayaan dalam pengurusan projek pembangunan sistem aplikasi. Antara maklumat-maklumat tersebut adalah seperti berikut:
a) Produktiviti
i) Jam per function point, membolehkan organisasi membandingkan produktiviti antara projek-projek atau pun membandingkan dengan standards industri.
ii) Produktiviti Keseluruhan, merujuk kepada function point per bilangan sumber manusia terlibat (total work effort) yang memboleh organisasi mentadbir dan memantau pelaksanaan projek secara efektif.
iii) Kadar pengeluaran/serahan (rate of delivery), membolehkan pihak pengurusan membuat perancangan dan analisis masa untuk promosi, atau untuk pelaksanaan projek.
b) Kualiti
i) Saiz fungsian perisian dalam bentuk function points boleh digunakan sebagai alat untuk membuat anggaran jadual pelan perancangan projek yang lebih tepat.
ii) Metrik tahap kesempurnaan projek boleh dikira dengan membandingkan bilangan function points berasaskan fungsian yang diminta pengguna berbanding bilangan function points berasaskan fungsian yang diserahkan.
iii) Metrik kadar perubahan kepada skop projek. Organisasi boleh menggunakan maklumat ini untuk membuat justifikasi kepada permohonan bajet tambahan atau perubahan kepada tarikh serahan projek.
iv) Kadar kecacatan produk. Ianya boleh digunakan untuk perancangan dan pemantauan di setiap fasa pembangunan perisian bagi memastikan kecacatan yang dikenalpasti dibetulkan sebelum produk dilaksanakan.
c) Kewangan
i) Kos per function point yang boleh digunakan membuat anggaran kos pembangunan aplikasi dan membantu membuat keputusan dalam pemilihan perisian.
ii) Kos pembetulan perisian per function points. Ianya digunakan untuk mengukur kos pembetulan perisian selepas dilaksanakan dalam tempoh tertentu.
iii) Nilai aset perisian organisasi merupakan satu metrik yang penting untuk menilai aset perisian kepunyaan organisasi.
d) Penyelenggaraan
i) Maintainability merupakan effort dalam bentuk kos penyelenggaraan per function point – boleh digunakan untuk membuat perancangan dan pemantauan kos penyelenggaraan aplikasi.
ii) Reliability ialah bilangan kegagalan aplikasi berbanding dengan saiz fungsiannya, boleh digunakan untuk mengukur tahap kebolehpercayaan aplikasi.
iii) Bilangan sumber manusia per function points untuk membuat penyelenggaraan.
Rujukan
1. Hassan Gomma (2011). Software Modelling and Design . Cambridge Univerity Press
2. Ali Mili & Fairouz Tahier (2011). Software Testing. John Wiley & Sons. Inc.