1.2 Metodologi Pembangunan Sistem Aplikasi

Metodologi Pembangunan Sistem Aplikasi adalah satu rangka kerja yang digunakan untuk menstruktur, merancang dan mengawal proses pembangunan sistem aplikasi. Terdapat pelbagai metodologi pembangunan sistem aplikasi yang telah diperkenalkan. Kesesuaian sesuatu metodologi pembangunan sistem aplikasi adalah bergantung kepada jenis organisasi, keupayaan dan keperluan teknikal, serta jenis dan pasukan projek. Antara model yang sering digunakan adalah:

a) Metodologi Waterfall

Metodologi waterfall juga dikenali Metodologi Jujukan Linear. Model ini menerapkan kawalan yang ketat terhadap setiap fasa di dalam SDLC. Semakan dan pengesahan serahan dilakukan secara formal dengan pemegang taruh pada setiap penghujung fasa. Sesuatu fasa seterusnya tidak akan dimulakan sekiranya semakan dan pengesahan serahan bagi fasa semasa tidak disempurnakan.


Rajah 3 : Metodologi Waterfall

b) Metodologi Spiral

Metodologi ini adalah gabungan konsep berulang di dalam Metodologi Prototype dan aspek kawalan yang sistematik seperti yang terdapat pada metodologi Jujukan Linear. Metodologi ini memberi fokus kepada penilaian produk dan meminimumkan risiko dalam pembangunan sistem. Model ini memecahkan skop projek kepada segmen-segmen yang kecil bagi memudahkan semakan dan perubahan dilakukan.


Rajah 4 : Metodologi Spiral

c) Metodologi Rapid Application Development (RAD)

Putaran RAD merangkumi 4 fasa utama iaitu perancangan keperluan, reka bentuk, pembangunan dan pelaksanaan. Fasa ini dilaksanakan oleh sekumpulan pembangun aplikasi yang mahir yang bekerjasama rapat dengan pengguna sepanjang tempoh pembangunan. Teknik dan tools yang digunakan merupakan faktor utama kejayaan RAD. Matlamat utama metodologi ini adalah menghasilkan sistem yang berkualiti tinggi secara cepat dengan memberikan penekanan terhadap keperluan pengguna.


Rajah 5 : Metodologi RAD

d) Metodologi Prototype

Metodologi ini terdapat sesuai digunakan jika pengguna sistem sukar mengenalpasti keperluan sistem. Terdapat 3 fasa penting dalam metodologi Prototype iaitu fasa keperluan pengguna, fasa pembangunan dan fasa pengujian. Proses ini diulang sehinggalah sistem lengkap dibangunkan. Metodologi ini mengaplikasikan proses perubahan lelaran (iterative modification process) sehingga sistem prototaip berkembang dan memenuhi kehendak pengguna.


Rajah 6 : Metodologi Prototype

e) Metodologi Pembangunan Berperingkat (Incremental Development)

Pendekatan ini mengaplikasikan metodologi waterfall dalam pembangunan utama sistem (system core) dan diikuti dengan metodologi Prototype secara lelaran (iterative). Pembangunan secara prototaip sehinggalah prototaip menjadi sistem aplikasi yang lengkap mengikut kehendak pengguna.

 
Rajah 7 : Metodologi Incremental Development


f) Metodologi Rational Unified Process (RUP)

Metodologi RUP adalah proses pembangunan sistem yang menyediakan satu pendekatan berdisiplin dalam menetapkan tugas dan peranan sesesuatu pasukan pembangunan sistem. Matlamat RUP adalah untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati kehendak pengguna dan di dalam lingkungan peruntukan dan jadual yang dianggarkan. RUP menggunakan 4 fasa utama iaitu Inception, Elaboration, Construction dan Transaction.


Rajah 8 : Metodologi RUP