3.4 PERMOHONAN PERUNTUKAN KEWANGAN

Permohonan peruntukan kewangan ialah aktiviti yang terakhir dalam Fasa Permulaan projek yang boleh dimohon dengan pelbagai kaedah. Antara tiga peruntukan utama yang sering digunakan untuk melaksanakan projek ICT adalah:

  • Peruntukan di bawah Belanjawan Pembangunan;
  • Peruntukan di bawah Belanjawan Mengurus; dan
  • Kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP)

 

3.4.1 Memohon Peruntukan Kewangan Di Bawah Belanjawan Pembangunan

Peruntukan kewangan untuk melaksanakan projek ICT boleh menggunakan belanjawan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia. Permohonan peruntukan kewangan perlu dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui kementerian atau Pejabat SUK selaras dengan pekeliling berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi yang sedang berkuat kuasa.

Portal Kementerian Ekonomi perlu dirujuk untuk mendapatkan maklumat mengenai dasar, polisi dan peraturan terkini tentang perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek ICT. Agensi perlu mengemukakan permohonan peruntukan kewangan projek secara dalam talian melalui sistem MyProjek atau sistem terkini mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa. 

Bagi projek ICT yang diluluskan peruntukan kos sebanyak RM70 juta atau lebih, agensi dikehendaki melaksanakan aktiviti pengurusan nilai atau Value Management(VM) supaya projek ICT yang dibangunkan memenuhi objektif dan keperluan yang disasarkan serta mencapai pulangan nilai untuk wang (value for money) kepada Kerajaan, selaras dengan pekeliling semasa yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi.

3.4.2 Memohon Peruntukan Kewangan Di Bawah Belanjawan Mengurus

Peruntukan kewangan di bawah belanjawan mengurus boleh juga digunakan untuk melaksanakan projek ICT. Permohonan peruntukan kewangan ini perlu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan melalui kementerian atau Pejabat SUK selaras dengan pekeliling Kementerian Kewangan yang berkaitan yang sedang berkuat kuasa.

3.4.3 Memohon Peruntukan menggunakan kaedah Kerjasama awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP)

Agensi juga boleh melaksanakan projek ICT dengan kaedah PPP. Ia adalah satu bentuk kerjasama antara sektor awam dengan sektor swasta yang mana satu stand alone business (perniagaan yang tersendiri) diwujudkan, dibiayai dan diuruskan oleh sektor swasta dalam menyediakan infrastruktur atau menyediakan perkhidmatan kepada Kerajaan dan awam. Agensi boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kaedah ini di portal Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) atau merujuk kepada polisi, pekeliling atau panduan semasa yang berkuat kuasa.