Fasa Penamatan merupakan fasa terakhir dalam PPrISA. Tujuan utama fasa ini adalah untuk memaklumkan kepada semua pihak yang terlibat bahawa projek ICT berkenaan ditamatkan secara rasmi.
Penamatan projek ini menandakan projek telah disiapkan mengikut skop, masa dan kos serta kriteria yang ditetapkan dalam kontrak dan boleh beroperasi, kecuali projek jenis kajian yang laporan akhir kajian telah siap dibentangkan dan diterima oleh pihak-pihak yang berkaitan. Sekiranya projek tidak berjaya disiapkan atau dibatalkan atas sebab-sebab tertentu, Pengurus Projek dan PMO hendaklah memastikan penamatan projek secara rasmi tetap dilaksanakan berdasarkan terma kontrak.
Rajah 6.1: Fasa Penamatan dalam PPrISA
Fasa penamatan ini bermula sebaik sahaja semua aktiviti projek yang dirancang telah berjaya dilaksanakan. Pengurus Projek dan PMO perlu memastikan serahan-serahan projek telah disahkan dan diterima oleh pemilik projek atau agensi (bagi projek dibangunkan secara outsourcing dan co-sourcing). Bagi projek yang tidak berjaya disiapkan, fasa ini bermula sebaik sahaja menerima arahan untuk menamatkan projek.
Antara aktiviti utama Fasa Penamatan Projek adalah mengumpul dan mengarkib fail projek yang lengkap dan komprehensif bagi tujuan merekodkan aktiviti dan sejarah pelaksanaan projek. Fail dan dokumentasi projek ini boleh digunakan sebagai rujukan kepada projek akan datang serta memudahkan proses pengauditan projek jika diperlukan.