PPrISA2.0 merupakan panduan komprehensif kepada Pengurus Projek dan PMO untuk mengurus projek ICT sama ada dibangunkan secara dalaman, luaran/outsourcing atau co-sourcing. Templat yang diperkenalkan dalam PPrISA menjadi rujukan dan untuk digunakan dalam pengurusan projek ICT Sektor Awam. Penggunaannya adalah bergantung kepada kesesuaian projek dari aspek sumber, kos, tempoh pelaksanaan, kompleksiti projek serta strategi pelaksanaan.
Empat fasa dalam PPrISA merangkumi fasa Permulaan, Perancangan, Pelaksanaan & Kawalan, dan Penamatan. Setelah projek selesai/tamat dan sistem aplikasi atau produk yang dihasilkan telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan, kajian impak boleh dilaksanakan oleh agensi untuk menilai keberkesanan sistem atau produk tersebut. Kajian impak ini bertujuan untuk mengukur sama ada sesuatu projek telah mencapai matlamat yang ditetapkan serta memberi faedah kepada kumpulan sasar terlibat. Pelaksanaan kajian impak boleh dirujuk kepada garis panduan penilaian outcome yang berkuat kuasa yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Cabaran utama seseorang Pengurus Projek adalah untuk mencapai objektif dan matlamat projek dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Pengurus Projek juga dalam masa yang sama perlu menangani banyak kekangan di pihak agensi seperti kos yang tidak mencukupi, sumber manusia yang terhad dari segi bilangan dan kemahiran, tempoh projek yang pendek dan penambahan skop projek semasa projek dalam peringkat pembangunan. Dengan adanya pengetahuan dan kemahiran dalam mengurus projek melalui panduan PPrISA, adalah diharapkan ianya dapat membantu Pengurus Projek dapat menangani cabaran/isu projek seperti dinyatakan di atas dengan lebih cekap dan berkesan.