Fasa Perancangan Projek ialah fasa kedua dalam PPrISA seperti digambarkan dalam Rajah 4.1 di bawah. Fasa ini bermula setelah mendapat kelulusan teknikal dan peruntukan kewangan untuk melaksanakan projek ICT seperti yang dijelaskan dalam Fasa Permulaan.
Rajah 4.1: Fasa Perancangan Projek dalam PPrISA
Tujuan utama fasa perancangan ini adalah untuk membuat perancangan terperinci bagi menguruskan pembangunan projek ICT dari mula hingga projek tamat dengan lebih sistematik dan lancar. Fasa ini bermula sebaik sahaja kelulusan yang sewajarnya telah diperoleh. Dokumen utama yang digunakan sebagai input bagi fasa perancangan ialah DPP terkini manakala serahan utama kepada fasa ini ialah dokumen Pelan Pengurusan Projek (PPP). Sila rujuk template PPrISA – Pelan Pengurusan Projek bagi templat PPP.
Dalam fasa ini semua aktiviti projek perlu dikenal pasti berdasarkan skop projek dengan mengambil kira kekangan terhadap tempoh masa, sumber kewangan dan sumber tenaga manusia. Maklumat tersebut perlu diseimbangkan bagi mencapai objektif, faedah serta KPI yang telah ditetapkan supaya projek berjaya menghasilkan serahan-serahan yang telah dipersetujui. Dalam fasa ini, perancangan terperinci perlu dilaksanakan bagi empat aspek utama iaitu perancangan pelaksanaan projek, perancangan pemantauan projek, perancangan kawalan projek dan perancangan penilaian projek. Selain itu, fasa ini juga memperincikan aspek tadbir urus dan struktur organisasi projek serta pengurusan perolehan dan kontrak bagi projek outsourcing atau co-sourcing.