Perancangan awal ini menghendaki Pengurus Projek mengenal pasti kaedah projek ICT yang akan dilaksanakan, sama ada secara dalaman (in-house) atau luaran iaitu mendapatkan perkhidmatan kontraktor (outsourcing) atau secara usaha sama dalaman dan luaran (co-sourcing).
Berpandukan kajian pasaran yang telah dijalankan, Pengurus Projek boleh mencadangkan kaedah pelaksanaan yang paling sesuai bagi membangunkan projek ICT berkenaan dengan mengambil kira factor yang berikut:
- Kompleksiti projek ICT dari aspek bisnes, proses dan teknologi;
- Sumber tenaga manusia agensi sedia ada dari aspek bilangan dan kemahiran;
- Kemampuan pelaksanaan projek oleh agensi dari aspek kos, kemudahan, infrastruktur ICT dan ruang pejabat;
- Keperluan khusus projek seperti memerlukan teknologi ICT yang terbaru dan spesifik (niche technology);
- Aspek keselamatan secara keseluruhan iaitu fizikal, infrastruktur ICT, aplikasi dan data; dan
- Perbandingan kos pelbagai produk ICT yang menguntungkan kerajaan.
Sekiranya pendekatan pembangunan projek yang dipilih adalah secara outsourcing atau co-sourcing, agensi perlu memastikan tatacara perolehan yang digunakan adalah yang sedang berkuat kuasa.