3.2.4 Menentukan Struktur Organisasi Projek dan Struktur Pelaporan

      Pengurus projek perlu mengenal pasti carta struktur organisasi keseluruhan projek yang meliputi pembentukan dua jawatankuasa tadbir urus dan satu pasukan projek. Jawatankuasa yang perlu diwujudkan ialah Jawatankuasa Pemandu Projek dan Jawatankuasa Teknikal Projek. Pengerusi bagi setiap jawatankuasa projek dan mesyuarat pasukan projek hendaklah pegawai yang berlainan.

       Struktur organisasi pasukan projek hendaklah mengandungi beberapa kumpulan atau pasukan projek untuk melaksanakan skop projek yang telah ditetapkan. Contohnya ialah Pasukan Kajian Keperluan, Pasukan Pembangunan Sistem, Pasukan Jaminan Kualiti, Pasukan Teknikal dan Pasukan Pengurusan Perubahan.  Bilangan personel yang menganggotai setiap pasukan juga perlu ditentukan.  Selain pengurus projek, agensi juga perlu mengenal pasti ketua setiap kumpulan atau pasukan.  Walau bagaimanapun, nama ahli pasukan projek yang lain tidak perlu direkodkan dalam DPP, sekiranya masih belum dapat dikenal pasti pada Fasa Permulaan ini.

         Bagi projek yang dilaksanakan secara outsourcing, hubung kait antara jawatankuasa yang melaksanakan fungsi tadbir urus dengan pasukan projek agensi dan pasukan projek kontraktor perlu ditentukan juga.  Penjelasan yang lebih terperinci berkaitan dengan struktur organisasi projek boleh dirujuk pada Fasa Perancangan.

          Pengurus projek juga dikehendaki menyediakan struktur pelaporan status kemajuan projek untuk menjelaskan aliran komunikasi antara pasukan projek dengan semua yang berkepentingan, terutama jawatankuasa tadbir urus projek, pemilik projek dan pihak kontraktor.  Jenis laporan, kekerapan pelaporan, kumpulan sasaran dan media komunikasi pelaporan dibuat (seperti mesyuarat/perbincangan, minit, e-mel) perlu dikenal pasti untuk direkodkan dalam templat DPP. 

 

            Selain itu, satu jawatankuasa iaitu Change Control Board (CCB) boleh diwujudkan bagi projek yang mempunyai kompleksiti yang tinggi. Peranan utama CCB adalah untuk meneliti dan mengesyorkan cadangan permohonan change request dalam sesuatu projek. Penjelasan yang lebih terperinci berkaitan dengan CCB boleh dirujuk pada Fasa Perancangan.