Dalam fasa ini Pengurus Projek hendaklah memastikan semua sumber projek adalah mencukupi dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memperoleh sumber yang masih belum ada. Beliau juga perlu mengurus dan menyelaraskan semua ahli pasukan supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual, kos dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Oleh itu kemahiran kepimpinan dan kemahiran insan yang baik ialah kompetensi yang perlu ada pada seseorang pengurus projek.
Tugas yang paling utama dalam fasa ini adalah melaksanakan semua aktiviti sepertimana yang terdapat dalam Pelan Projek dan serentak dengan itu, Pengurus Projek hendaklah memantau, mengawal dan melaporkan pelaksanaan aktiviti tersebut supaya serahan-serahan projek dapat dihasilkan mengikut jadual, spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan. Seperti yang digambarkan dalam Rajah 5.2, keempat-empat aktiviti tersebut dilaksanakan secara iteratif sehingga terhasilnya semua serahan atau projek ditamatkan atas sebab-sebab tertentu.
Rajah 5.2: Aktiviti-Aktiviti dalam Fasa Pelaksanaan dan Kawalan Projek
Selain itu, Pengurus Projek juga hendaklah memastikan semua program dan aktiviti dalam Pelan Pengurusan Perubahan dilaksanakan dari peringkat awal hingga tamat projek. Begitu juga urusan mentadbir kontrak sekiranya projek ICT berkenaan yang dilaksanakan secara outsourcing atau co-sourcing.
Berikut adalah keterangan mengenai aktiviti-aktiviti yang perlu dilaksanakan dalam Fasa Pelaksanaan dan Kawalan.