Buku Garis Panduan Penyediaan Perancangan Strategik Pendigitalan Sektor Awam merupakan satu garis panduan standard dalam penyediaan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) agensi sektor awam. Penyediaan PSP terbahagi kepada dua kategori iaitu, pembangunan dan Kajian Separuh Penggal (KSP) PSP.
Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) yang dahulunya dikenali sebagai Pelan Strategik ICT (PSICT) merupakan pelan atau blueprint yang mengandungi rujukan penting dalam perancangan pelaksanaan projek ICT agensi bagi tempoh sekurang- kurangnya antara tiga hingga lima tahun. PSP agensi perlu selari dengan pelan strategik organisasi mengikut tempoh yang telah ditetapkan bagi memastikan PSP mengambil kira keperluan perkhidmatan jabatan dan perkembangan teknologi ICT terkini. PSP juga perlu dipantau dan dikaji semula secara berkala melalui KSP bagi memastikan hala tuju strategik ICT dan pendigitalan kekal relevan dengan persekitaran organisasi agensi. Prasyarat pembangunan dan KSP PSP adalah seperti dalam Rajah 1.1.
Rajah 1.1 Prasyarat Penyediaan PSP
Keperluan penyediaan PSP terkandung dalam Surat Arahan Ketua Setiausaha Negara melalui rujukan MAMPU.600-9/10/2 (3) bertarikh 8 November 2021 yang menyatakan bahawa semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan/ Negeri, Badan Berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan perlu membangunkan PSP masing-masing. PSP ini perlu dijajarkan dengan aspirasi pendigitalan di peringkat negara dan juga global.
Pembangunan PSP agensi sektor awam juga dilaksanakan bersekali dengan pembangunan Enterprise Architecture (EA) yang menggunakan Metodologi MyGovEA di peringkat strategik sebagai pemudah cara untuk melaksanakan penjajaran strategi dan teras perkhidmatan kerajaan berlandaskan prinsip saling kendali (interoperability) dan Whole-of-Government (WoG). MyGovEA juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran kerajaan serta perkhidmatan sepunya (common services) yang menyokong integriti transaksi dan komunikasi merentas agensi.
Buku ini mengandungi garis panduan yang boleh dijadikan rujukan oleh agensi dalam pembangunan PSP yang baharu atau pelaksanaan Kajian Separuh Penggal PSP sedia ada. Terdapat lima fasa dalam garis panduan ini iaitu, Fasa Mobilisasi, Fasa Analisis, Fasa Strategi, Fasa Formulasi dan Fasa Dokumentasi. Setiap fasa mengandungi proses dan serahan yang perlu mendapat kelulusan pihak pengurusan bagi menghasilkan sebuah dokumen PSP yang lengkap dan komprehensif.
Terdapat lapan bab yang diterangkan dalam buku ini iaitu, Bab 1 berkaitan pengenalan PSP, tujuan dan keterangan kandungan buku. Bab 2 menerangkan secara ringkas berkaitan fasa yang terlibat dalam garis panduan ini. Bab 3 pula akan menjelaskan secara terperinci berkaitan Fasa Mobilisasi yang melibatkan aktiviti persediaan permulaan projek manakala Bab 4 hingga Bab 6 menerangkan secara terperinci aktiviti dan proses yang terdapat dalam Fasa Analisis, Fasa Strategi dan Fasa Formulasi. Bab 7 pula menerangkan secara terperinci berkaitan Fasa Dokumentasi dan Bab 8 merupakan rumusan bagi pengurusan strategik pendigitalan yang merangkumi pembangunan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian semula.
Buku panduan ini disediakan bagi rujukan penjawat awam yang diberikan tanggungjawab dalam pengurusan PSP dan juga kepada mereka yang berminat meningkatkan pengetahuan dalam penyediaan PSP tidak kira sama ada daripada sektor awam atau swasta. Selain itu, dengan adanya panduan ini diharap dapat membantu agensi menyediakan PSP dengan menggunakan kepakaran dalaman, mengurangkan kebergantungan kepada perunding luar dan dapat menjimatkan kos.