BAB 1 - PENDAHULUAN

BAB 1 - PENDAHULUAN

Garis panduan ini bertujuan untuk memberi panduan komprehensif untuk mengurus projek Information and Communication Technology (ICT) di agensi.  Garis panduan PPrISA (Pengurusan Projek ICT Sektor Awam) 2.0 mengandungi tatacara yang lebih komprehensif bagi melaksanakan projek ICT bermula dari Fasa Permulaan, Fasa Perancangan, Fasa Pelaksanaan dan Kawalan sehingga ke Fasa Penamatan Projek.  Setiap fasa mengandungi templat yang boleh digunakan sebagai rujukan dan dokumen rasmi dalam mengurus projek ICT. 

Tujuan garis panduan PPrISA 2.0 ini dibangunkan adalah untuk menyediakan satu panduan yang sistematik supaya pengurusan projek ICT di agensi sektor awam dapat dilaksanakan dengan cara yang lebih efisien dan berdisiplin.  Panduan ini boleh diguna pakai bagi mengurus projek ICT sama ada yang dilaksanakan secara dalaman, luaran/outsourcing (iaitu yang menggunakan perkhidmatan dari pihak luar seperti universiti, syarikat swasta atau luar negara) atau co-sourcing (gabungan dalaman dan outsourcing).

Sasaran utama garis panduan ini adalah pegawai sektor awam yang diberi tanggungjawab sebagai pengurus projek dan pejabat pengurusan projek (PMO) untuk melaksanakan projek ICT.  Ia juga boleh dijadikan sebagai sumber rujukan kepada pegawai sektor swasta yang terlibat dalam melaksanakan projek ICT di agensi sektor awam.  Selain itu ia juga boleh dijadikan bahan bacaan untuk meningkatkan pengetahuan bagi mereka yang berminat dalam pengurusan projek ICT secara umum.            

Garis panduan ini meliputi tujuh bab iaitu:

Bab 1 menjelaskan tujuan, kumpulan sasaran dan keterangan mengenai isi kandungan garis panduan ini. 

Bab 2 menerangkan konsep asas mengenai projek ICT sektor awam dan keterangan ringkas mengenai Metodologi PPrISA 2.0. 

Bab 3 berkenaan Fasa Permulaan Projek, menerangkan aktiviti yang perlu dilaksanakan untuk memulakan projek ICT, termasuk memperoleh butiran asas projek, memohon kelulusan teknikal projek dan seterusnya memohon kelulusan peruntukan kewangan. 

Bab 4 menjelaskan tentang Fasa Perancangan Projek di mana perancangan terperinci yang merangkumi aktiviti dan serahan projek serta pelan yang perlu dibangunkan untuk melaksana dan mengawal projek ICT. 

Bab 5 menerangkan berkenaan Fasa Pelaksanaan dan Kawalan Projek yang memberi fokus kepada pelaksanaan aktiviti serta penghasilan serahan projek dan juga aktiviti pemantauan dan kawalan projek.

Bab 6 menjelaskan tentang Fasa Penamatan di mana aktiviti menamatkan projek dan penilaian projek dilaksanakan secara formal. 

Bab 7 merupakan rumusan bagi garis panduan ini.